Biografi Syaikh Muhammad al-Ghazali berdasarkan pengenalanku dengannya dari dekat, pergaulanku dengannya, dan pengajianku kepadanya. Biografi ini merupakan sebahagian daripada haknya yang harus saya tunaikan, salah satu bukti kesetiaan orang yang pernah berguru kepadanya, dan kenangan yang sebahagiannya sudah berlalu hampir setengah abad. Penulisan biografi Syaikh Muhammad Al-Ghazali telah banyak digarap oleh orang-orang yang mengenali kemuliaan dan kedudukannya, baik ketika beliau masih hidup atau setelah beliau wafat. Antara lain, Syaikh Yusuf al-Qaradhawi merupakan orang yang lebih rapat dan lebih lama menyertainya daripada saya..
Syaikh Muhammad Al-Ghazali yang Saya Kenal
Saya mula mengenali Ustadz Al-Ghazali dengan membaca makalah-makalahnya di majalah Al-Ikhwanul Muslimun yang sampai ke jabatan perwakilan Ikhwanul Muslimin , Az -Zubair, pada tahun 1946. Ketika saya pergi ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran di universiti pada tahun 1949, saya mengenali Syaikh Muhammad Al-Ghazali melalui saudara-saudaraku yang mulia, antaranya Manna' Qathan, Muhammad Bakri, Yusuf Al-Qaradhawi, Ya'qub Abdul Wahhab, Ahmad 'Assal, Muhammad Shafthawi, Muhammad Damirdasy, dan Haji Wahbah Hasan Wahbah. Kami memiliki jadual pertemuan rutin dengan Syaikh Muhammad Al-Ghazali. Dalam pertemuan itu beliau membekalkan kami ilmu yang bermanfaat, memberi semangat kepada kami untuk berjuang di jalan Allah Ta'ala dan membela kaum yang lemah, menyedarkan kepada kami perihal konspirasi musuh-musuh Islam di dalam dan luar negeri, mengungkapkan rencana-rencana busuk mereka untuk memerangi Islam dan kaum muslimin, membongkarkan kebusukan Komunisme, Sekulerisme, Freemasonry, Atheisme, Eksistensisme, Kristianisme, dan Zionisme. Beliau sentiasa mengingatkan kami tentang persekongkolan kekuatan-kekuatan jahat untuk melawan Islam dan dainya, serta menjelaskan kepada kami cara melawan
serangan kekuatan kufur.
Ustadz Muhammad Al-Ghazali ialah seorang dai yang cerdik , memiliki semangat berkobar-kobar, keimanan yang mendalam, hati yang lembut, tekad yang teguh, lincah, ungkapan-ungkapan yang indah sasteranya,mengagumkan, seorang yang fleksibel, dan pemurah. Ini semua diketahui oleh setiap orang yang pernah bergaul bersamanya, menyertainya atau bertemu dengannya. Beliau tidak menyukai sikap memaksa diri (takalluf), benci terhadap kesombongan dan sikap berlagak, aktif mengikuti perkembangan social dengan segala persoalannya,turut serta dalam menyelesaikan masalah umat, mengungkapkan hakikat, dan mengingatkan umat tentang bencana yang ditimbulkan oleh syaitan-syaitan manusia dan jin; baik dari Barat mahupun Timur.
"Syaikh Al-Ghazali merupakan salah seorang daripada tokoh-tokoh Islam masakini.Beliau merupakan dai yang tiada tolok bandingnya di dunia Islam ketika ini. Beliau merupakan seorang yang genius dan keindahan katanya amat menawan hati, hingga saya dapat menghafal beberapa ungkapan, bahkan beberapa lembar tulisannya, lalu mengulangi sesuai dengan teks aslinya dalam beberapa ceramah." Demikian komentar Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam bukunya Asy-Syaikh Al-Ghazali Kama Araftuhu (Syaikh Al-Ghazali yang Saya Kenal). Dalam kesempatan lain Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata, "Saya teringat saudaraku, Abdullah Al-Aqil, yang belajar dalam Fakulti Syariah Al-Azhar, Mesir, pada awal tahun lima puluhan. Beliau hafal mukadimah buku karya Al-Ghazali, Al-Islam wa Audla'ul Iqtishadi, cetakan kedua yang teks awalnya berbunyi, 'Tiada bangsa yang menghinakan diri seperti bangsa Timur, tiada yang hak-haknya dirampas sebagaimana dirampasnya hak-hak agama, dan seterusnya...
Pertemuan Syaikh Muhammad Al-Ghazali dengan An-Nadwi
Syaikh Abu Hasan Ali An Nadwi,di dalam bukunya Mudzakkirat Sa-ihin Fisy Syarqil 'Arabi, berkata, "Saya ingin sekali bertemu Syaikh Muhammad Al-Ghazali. Kerana seorang mahasiswa bernama Abdullah Al-'Aqil banyak bercerita dan memujinya, bahkan menghadiahkan beberapa karangannya kepadaku. Syaikh Muhammad Al-Ghazali merupakan salah seorang daripada tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin yang terkemuka dan merupakan seorang penulis kebangkitan keagamaan di Mesir. Akhirnya, saya dapat bertemu dengan penulis buku Al-Islam wa Audla'ul Iqtishadi, Al-Islam wal Manahijul Isytirakiyah, Al-Islam Al-Muftara Alaih, dan Min Huna Na'lam ini. Saya bertemu seorang lelaki yang menyajikan makanan pemikiran, ruhani, dan adab Islam yang murni. Saya sangat berbahagia kerana dapat bertemu orang yang shalih, intelek, dinamis, hatinya hidup, otaknya bijak, dan wajahnya yang sentiasa jelas memancarkan kegembiraan. Menurutku, setiap daripada kita dapat mengenalinya melalui buku-buku dan risalah-risalahnya. Kerana,buku-bukunya merupakan gambaran pemikiran prinsip-prinsip yang beliau yakini.”
Tempat, tanggal lahir dan zaman kanak-kanak Syaikh Muhammad Al-Ghazali
Syaikh Al-Ghazali dilahirkan pada 22 September 1917, di kampung Naklal Inab, Itay Al'Barud, Buhairah, Mesir. Beliau dibesarkan dalam keluarga agama yang sibuk di dalam dunia perdagangan. Ayahnya hafizh Al-Qur'an. Lalu sang anak tumbuh mengikut jejak ayahandanya dan habis menghafal Al-Qur'an semenjak usia sepuluh tahun. Syaikh Muhammad Al-Ghazali menerima ilmu daripada guru-guru di kampungnya. Beliau memasuki sekolah agama di Iskandariah dan menamatkan pendidikan menengah rendah hingga menengah atas (SMU). Kemudian beliau pindah ke Kairo untuk melanjutkan pelajaran dalam Fakulti Ushuluddin dan mendapat ijazah pada tahun 1361 H. / 1945M. Beliau memberi keutamaan di Dakwah wal 'Irsyad dan mendapat gelaran Magistret pada tahun 1362 H. / 1943 M. Para guru yang paling berpengaruh kepadanya ketika itu ialah Syaikh Abdul Aziz Bilal, Syaikh Ibrahim Al-Gharbawi, Syaikh Abdul Azhim Az-Zarqani, dan lain-lain. Syaikh Muhammad Al-Ghazali berkahwin ketika masih menuntut dalam fakulti Ushuluddin dan dikurniakan sembilan orang anak.
Aktiviti Syaikh Muhammad Al-Ghazali
Setelah menamatkan pengajiannya, Syaikh Muhammad Al-Ghazali menjadi imam dan khathib di Masjid Al-'Atabah Al-Khadlra'. Setelah itu beliau menerima banyak jawatan yang secara berurutan sebagai berikut: Dewan Pengawas Masjid, Dewan Penasihat Al-Azhar, Wakil Dewan Urusan Masjid, Pengarah Urusan Masjid, Pengarah Pelatihan, Pengarah Dakwah wal Irsyad (Dakwah dan Penyiasatan). Pada Tahun 1949 Syaikh Muhammad Al-Ghazali meringkuk dalam Penjara Ath-Thur selama satu tahun dan Penjara Tharah tahun 1965 selama beberapa tahun.
Syaikh Muhammad Al-Ghazali menjadi pensyarah tamu di Universiti Ummul Qura, Makkah Al-Mukarramah, pada tahun 1971. Pada tahun 1981, beliau dicalonkan sebagai Wakil Menteri, kemudian memegang jabatan Ketua Dewan Keilmuan Universiti Al-Amir Abdul Qadir Al-Jazaairi Al-Islamiyah di Aljazair selama lima tahun.
Peringkat awal perkenalan Syaikh Muhammad Al-Ghazali dengan Imam Hassan Al-Banna
Pada peringkat awal interaksi Syaikh Muhammad Al-Ghazali dengan Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna diceritakan oleh Ustadz Muhammad Majdzub dalam bukunya Ulama wa Mufakkirun 'Araftuhum. Ustadz Majdzub memetik ucapan Al-Ghazali, "... Perkenalan itu bermula ketika saya belajar di Sekolah Menengah (SMU) Iskandariah. Ketika itu, saya mempunyai kebiasaan beriktikaf di Masjid Abdurrahman bin Harmuz, di daerah Ra'sut Tin selepas shalat Maghrib, untuk mengulangkaji pelajaran. Pada suatu petang, Imam Al-Banna menyampaikan nasihat ringkas mengenai penjelasan hadits 'Bertakwalah kepada Allah di mana pun kamu berada, ikutilah setiap perbuatan buruk dengan perbuatan baik, tentu yang baik akan menghapusnya, dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik. . 'Kata-katanya sangat berkesan dan secara langsung menembus ke hati yang paling dalam. Setelah mendengar nasihat itu, hatiku tertambat kepadanya. Saya tertarik kepada sikap dan peribadinya. Sejak itu, hubunganku dengannya terjalin erat. Saya sentiasa bersamanya selepas shalat Isya', di dalam majlis yang terdiri daripada tokohtokoh dakwah. Selanjutnya, saya meneruskan aktiviti Buku-bukunya merupakan gambaran pemikiran prinsip-prinsip yang beliau yakini… dalam perjuangan Islam bersama dai besar ini, hingga beliau syahid tahun 1949.
" Dalam mukadimah buku Dusturul Wihdah Ats-Tsaqafiyah Lil Muslimin, Al-Ghazali berkata, " ...Inspirasi dan tema buku ini berasal daripada Imam Hasan Al-Banna; pembaharu abad ke 14 Hijriyah. Beliau telah meletakkan prinsip yang dapat menyatukan umat, memperjelaskan tujuan yang samar, mengembalikan kaum muslimin kepada Al-Qur'an dan As-Sunah, serta menyingkirkan penyimpangan dan sikap beristirehat, dengan halus dan cermat, sehingga kelemahan dan kemalasan tidak terjadi." Tentang Mursyid 'Am Kedua Ikhwanul Muslimin, Ustadz Hasan Al-Hudhaibi, Al-Ghazali menyatakan, ".. .Sebenarnya beliau tidak pernah berupaya untuk memimpin Ikhwanul Muslimin, tetapi Ikhwanlah yang meminta beliau memimpinnya. Ketegasan dan keistiqomahannya berhak untuk diketahui oleh setiap orang. Beliau tidak pernah berkeluh-kesah atau mundur kerana musibah atau ujian. Sehingga usia yang sudah senja pun beliau tetap memiliki keimanan mendalam dan optimisme tinggi. Tidaklah salah jika dikatakan bahawa kesabaran yang mengukuhkan imannya itu menjadikannya lebih mulia dalam pandangan saya. Musibah yang menimpa diri dan keluarganya secara bertubi-tubi tidak mengikis sifat jujurnya dalam menghukumi masalah. Bahkan, tidak membuatnya surut dari manhaj Jamaah Islamiyah, malah sebaliknya. Saya menemuinya setelah berbagai musibah berlalu untuk memperbaiki hubungan dengannya. Semoga Allah Ta'ala mengampuni kita semua."
Tentang Mursyid Am Ketiga Ikhwanul Muslimin, Ustadz Umar Tilmisani, Al-Ghazali menyatakan, ".. .Ketika saya bersama ribuan anggota Ikhwan di Penjara Ath-Thur, setelah syahidnya Imam Hasan Al-Banna, pada tahun 1949, saya melihat langkah Ustadz Umar Tilmisani yang perlahan dan pandangannya yang mencerminkan ketenangan. Beliau berjalan di atas hamparan pasir penjara dengan senyuman yang optimis. Beliau mengukuhkan kesabaran Ikhwan dalam menghadapi ujian keterasingan dan kerasnya pengungsian serta menghembuskan harapan akan masa depan yang lebih baik. Ketika itu, saya dapat merasakan seolah-olah berada di hadapan lelaki istimewa yang digerakkan rasa cinta dan kedamaian. Beliau amat bencikan pertengkaran, kemunafikan, akhlak buruk, mengutamakan uzlah, dan merasakan kemesraan dalam bermunajat kepada Allah Ta'ala, serta kehinaan riya' dan matlamat kekuasaan tidak mendapat jalan untuk masuk ke dalam hatinya.
Ketika saya menemuinya untuk bekerjasama dalam menyumbangkan kepada Islam, beliau berkata kepadaku, 'Kamu tahu pekerjaan ini (memimpin jamaah Ikhwan) merupakan beban berat yang terpaksa ku pikul dan ku terima?' Saya menjawab, 'Aku tahu hal itu. Kerana tidak bermatlamat tampil di depan dan tidak menginginkan jabatan. Orang seperti Anda sangat berhak mendapat perlindungan dan bimbingan Allah Ta'ala ." Komentar Al-Ghazali tentang Imam Al-Banna, Al-Hudhaibi, dan Tilmisani ini mengungkap ketulusan dan kemuliaan peribadi Syaikh Al-Ghazali. .........bersambung bahagian 2.
www.info-iman.blogspot.com