Assalamu ‘alaikum warahmatullah.
Baru-baru ini saya telah diajukan satu persoalan; “ Benarkah perempuan beriman yang meninggal dunia sebelum sempat berkahwin akan dikahwinkan dengan bidadara di syurga ?.
Insya Allah dalam ruangan “ catatanku ” ini, saya ingin memaparkan pandangan saya mengenai persoalan di atas , sebagaimana yang telah saya berikan kepada orang yang bertanya. Berikut adalah jawapan saya secara ringkas;
Sebelum saya menjawab benar atau tidak, saya ingin menyatakan bahawa tiada istilah “ bidadara ” dalam Islam. Dalam al-Quran dan hadis ada disebutkan perkataan “ Huur ‘In ” , yang boleh diertikan sebagai “ bidadari ” dalam bahasa Melayu. Bidadari ini disediakan oleh Allah SWT bagi hamba Allah dari kalangan lelaki yang beriman sebagai isteri di syurga , di samping isteri dari kalangan perempuan yang beriman. Bidadari ialah makhluk yang khusus dicipta oleh Allah sebagai satu dari nikmat-nikmat syurga. Dikatakan ia dicipta dari amalan-amalan baik manusia semasa di dunia. Wallahu a’lam.
Saya sendiri, pernah mendengar ada juga guru agama atau penceramah agama yang menyatakan pandangan mereka ; “ Kalau lelaki beriman dikurniakan bidadari sebagai balasan atau ganjaran nikmat di syurga, maka sudah tentu wanita yang beriman juga disediakan bidadara [ istilah digunakan bagi bidadari lelaki ]” bagi menunjukkan keadilan Allah SWT ”.
Pada pandangan saya pendapat ini adalah keliru atau tidak tepat. Golongan lelaki yang beriman memang patut atau sesuai beristerikan bidadari [ yang dijadikan khusus untuk mereka ] di samping isteri dari kalangan manusia kerana mereka boleh berpoligami. Bahkan kedudukan [ taraf ] mereka [ lelaki beriman ] adalah lebih tinggi dan sempurna berbanding bidadari sama ada dari aspek kejadian ataupun keimanan . Jika dibandingkan kedudukan antara bidadari dengan wanita yang beriman, sudah pasti wanita beriman lebih tinggi.
Ingatlah ! manusia yang beriman itu dapat mendiami syurga kerana keimanan mereka yang telah diuji dengan pelbagai cabaran semasa di dunia. Oleh itu kedudukan mereka sangat tinggi di sisi Allah SWT. Maka sudah tentu Allah tidak akan mengahwinkan wanita beriman dengan makhluk yang lebih rendah tarafnya “ seperti bidadara ” [ jika mereka wujud ] . Sudah tentu Allah SWT tidak akan meletakkan wanita beriman di bawah pimpinan suami yang lebih rendah kedudukannya.
Mungkin terdetik persoalan, kalau begitu dengan siapakah wanita beriman akan dikahwinkan ?. Jawapannya; mereka akan dikahwinkan dengan suami yang lebih baik kedudukan atau tarafnya dari kalangan lelaki yang beriman. Jika di dunia mereka hanya boleh berkahwin dengan lelaki yang beriman, maka di akhirat juga begitu. Mereka akan mendapat suami yang terbaik / terpilih dari kalangan lelaki yang beriman. Jika istilah bidadara hendak digunakan juga sebagai lambang nikmat syurga yang dikurniakan kepada wanita beriman, maka bidadara itu adalah suami dari kalangan lelaki yang beiman.
Wanita yang beriman tidak perlu bimbang atau cemburu mendengar ganjaran yang disediakan untuk lelaki beriman. Lalu mereka pun inginkan juga bidadara untuk mereka. Ingatlah ! jika di dunia wanita hanya memerlukan seorang suami sahaja, begitu juga di akhirat nanti. Itulah fitrah mereka sebagaimana diciptakan Allah. Wallahu a’lam.
www.info-iman.blogspot.com