1.1 PENDAHULUAN
Islam adalah agama yang sempurna. Dengan itu Islam telah mengatur cara hidup manusia dengan sistem yang serba lengkap hatta kepada muamalat manusia juga dengan Islam. Di antara muamalat Islam yang telah disistemkan kepada kita ialah Al Hiwalah.
Al Hiwalah merupakan sistem yang unik yang sesuai untuk diadaptasikan kepada manusia. Ini kerana al Hiwalah adalah sebahagian daripada kehidupan manusia di dalam muamalah. Ia sering berlaku kepada permasalahan hutang piutang. Maka sebahagian cara untuk menyelesaikan masalah muamalah ini perlulah diketengahkan Al Hiwalah ini sebagai jalan melupuskan masalah.
Al Hiwalah bukan sahaja digunakan untuk menyelesaikan masalah hutang piutang malahan lebih dari itu ia juga berperanan sebagai pemindah dana dari individu kepada individu yang lain atau syarikat atau juga firma sebagai mana telah diguna pakai oleh sesetengah sistem perbankan.
Justeru, penulis mengambil kesempatan untuk mengkaji serba sedikit tentang al Hiwalah berkaitan konsep al Hiwalah, definisi, dalil pensyariatan, rukun dan syarat al Hiwalah. Penulis juga akan membincangkan konsep al Hiwalah di dalam sistem perbankan iaitu berkaitan kiriman wang (remittance).
BAB 1 : KONSEP AL HIWALAH
1.1 DEFINISI
Al Hiwalah dari segi bahasa ialah pindah. Menurut istilah ulama Hanafi mentakrifkan sebagai memindahkan tuntutan daripada tanggungan si berhutang kepada tanggungan orang yang sedia mengambil tanggungan.(1)(Wahbah Al Zuhaili, Fiqh Islami wa adillatuhu, Jilid 5, hlm 143)
Penulis kitab al Inayah telah mentakrifkan al Hiwalah sebagai pemindahan hutang daripada tanggungan si berhutang kepada penerima pindah hutang berdasarkan kepercayaan. (2)(ibid, hlm 143)
Ulama selain Hanafi mentakrifkan al Hiwalah sebagai satu aqad (kontrak) yang membawa kepada pemindahan tanggungan hutang kepada tanggungan hutang yang lain. (3)(ibid)
Ini bermakna al Hiwalah itu semacam akad (ijab qabul) pemindahan hutang dari tanggungan seseorang yang berhutang kepada orang lain, di mana orang lain itu mempunyai hutang pula kepada yang memindahkan. 4(H. Idris Ahmad S.H, Fiqh Syafii, Jilid 2, hlm 47)
Sebagai contohnya Ali mempunyai sejumlah hutang kepada Bakar. Sedang Bakar mempunyai sejumlah hutang pula kepada Umar, menurut jumlah yang sama. Oleh kerana Bakar tidak mampu untuk membayar hutangnya, maka Bakar berunding dengan Ali supaya hutangnya itu diminta saja kepada Umar. Dalam hal ini, maka Umarlah yang akan berhubungan langsung dengan Ali, sedang Bakar terlepas dari tanggungjawab hutang. (5)(ibid, hlm 47)
Maka Ali dinamakan Muhtal (dipindahkan haknya). Sedangkan Bakar dinamakan Muhil (memindahkan hak). Sementara Umar pula dinamakan Muhal alaih(menanggung hak).
1.2 DALIL PENSYARIATAN
Al-Hiwalah diharuskan syarak berdasarkan al sunnah dan ijma' kecuali pengurusan hutang dengan hutang.
1.2.1 Berdasarkan dalil daripada al sunnah : (6)(Wahbah Al Zuhaili, hlm 144)
Terjemahan : Orang kaya yang sengaja melambatkan membayar hutang adalah zalim, hendaklah dipindahkan hutang itu kepada orang kaya lain jika ada yang sudi.
Sebagai mana telah diriwayatkan oleh Al Baihaqi. Dala riwayat al Tabrani dla kitab Mu'jam al Wasit dengan lafaz :
Terjemahan : Siapa yang mampu melakukan pindahan hutang, maka hendakah ia lakukan.
Dalam riwayat Ahmad dan Ibn Shaybah dengan lafaz :
Terjemahan : Siapa yang mampu melakukan pindahan hutang, maka hendaklah ia lakukan. Mengikut jumhur perintah membuat pindah hutang satu perkara sunnah maka oleh itu tidak wajib menerima tawaran. Mengikut Abu Daud perintah tersebut adalah bermakna wajib, ia mesti diterima oleh pemiutang asal.
Mengikut al-Syaukani, hadis di atas menunjukkan bahawa pihak kedua, iaitu yang kemudiannya disebut sebagai al muhal wajib menerima tawaran al hiwalah oleh pihak pertama (al muhil). Bagaimana pun, kata beliau majoriti para ulama tidak berpendapat begitu. Sebaliknya mereka hanya mengatakan sunat bagi pihak kedua menerima tawaran itu . Itu pun kalau sekiranya pihak ketiga itu dilihat mampu melaksanakannya. (7)(Prof. Madya Datin Paizah Haji Ismail, Fiqh Malaysia.com)
1.2.2 Berdasarkan dalil Ijma' :
Dari segi ijma' bahawa ahli ilmu pada keseluruhannya mengharuskan pindah hutang yang tidak berbentuk barang/benda kerana al hiwalah adalah perpindahan hutang. Oleh sebab itu harus pada wang atau kewajipan financial. (8)(Muhammad Syafii Antonio, Bank Syariah dari Teori ke Praktik 2001, hlm 127)
Menurut Ikhwan Abidin Basri, MA di dalam tulisannya menyatakan bahawa pada prinsipnya para ulama telah sepakat dibolehkannya akad hiwalah ini. Hiwalah yang mereka sepakati adalah hiwalah dalam hutang piutang bukan pada barang konkrit.
1.3 RUKUN AL HIWALAH
Menurut mazhab Hanafi rukun hiwalah ada dua iaitu ijab yang diucapkan oleh Muhil dan qabul yang diucapkan oleh Muhal dan Muhal alaih. Sedangkan menurut jumhur ulama rukun hiwalah ada enam macam iaitu: (9)(H. Sulaiman Rasjid, Fiqh Islam, hlm 299)
1. Muhil ( orang yang berhutang dan berpiutang).
2. Muhal ( orang yang berpiutang).
3. Muhal alaih ( orang yang berhutang).
4. Hutang muhil kepada muhal
5. Hutang Muhal alaih kepada Muhil.
6. Sighah (lafaz aqad).
4. Hutang muhil kepada muhal
5. Hutang Muhal alaih kepada Muhil.
6. Sighah (lafaz aqad).
Penjelasan, umpama A (muhil) berhutang dengan B (muhal) dan A berpiutang dengan C (muhal alaih), jadi A adalah orang yang berhutang dan berpiutang , B hanya berpiutang dan C hanya berhutang. Kemudian A dengan persetujuan B menyuruh C membayar hutangnya kepada B, setelah terjadi aqad hiwalah, terlepaslah A dari hutangnya kepada B, dan C tidak berhutang dengan A, tetapi hutangnya kepada A, telah berpindah kepada B bererti C harus membayar hutangnya itu kepada B tidak lagi kepada A.
1.4 SYARAT AL HIWALAH
Syarat al hiwalah ini berkaitan dengan Muhil, Muhal, Muhal Alaih dan Muhal Bih(hutang yang dipindahkan).
1.4.1 Syarat Muhil (Pemindah Hutang)
Ia disyaratkan harus dengan dua syarat : (10)(Wahbah al Zuhaili, hlm 146)
1.4.1.1 Berkemampuan untuk melakukan akad (kontrak). Hal ini hanya dapat dimiliki jika ia berakal dan baligh. Hiwalah tidak sah dilakukan oleh orang gila dan kanak-kanak kerana tidak mampu atau belum dapat dipandang sebagai orang yang bertanggung secara hukum.
1.4.1.2 Kerelaan Muhil. Ini disebabkan kerana hiwalah mengandungi pengertian pelupusan hak milik sehingga tidak sah jika ia dipaksakan. Ibn Kamal berkata dalam al Idah bahawa syarat kerelaan pemindah hutang diperlukan ketika berlaku tuntutan.
1.4.2 Syarat Muhal (Pemiutang Asal)
1.4.2.1 Ia harus memiliki kemampuan untuk melaksanakan kontrak. Ini sama dengan syarat yang harus dipenuhi oleh Muhil.
1.4.2.2 Kerelaan dari Muhal kerana tidak sah jika hal itu dipaksakan.
1.4.2.3 Penerimaan penawaran hendaklah berlaku dalam majlis aqad. Ini adalah syarat beraqad.
1.4.3 Syarat Muhal Alaih (Penerima Pindah Hutang)
1.4.3.1 Sama dengan syarat pertama bagi Muhil dan Muhal iaitu berakal dan baligh.
1.4.3.2 Kerelaan. Kalau ada unsur-unsur paksaan dala penerimaan pindah hutang, aqadnya tidak sah Ulama Maliki tidak mensyaratkan kerelaan bagi penerima hiwalah.
1.4.3.3 Penerimaan hendaklah dibuat dalam majlis aqad. Menurut Abu Hanifah da Muhammad, syarat ketiga ini adalah syarat beraqad.
1.4.4 Syarat Muhal Bih (Hutang).
Para ulama sekata bahawa hutang yang dipindahkan memenuhi dua syarat : (12)(ibid, hlm 148)
1.4.4.1 Ia hendaklah hutang yang berlaku pada pemiutang da pemindah hutang. Sekiranya ia bukan hutang, kedudukan aqadnya menjadi perwakilan. Implikasinya, hiwalah dalam bentuk baran yang ada tidak sah, kerana ia tidak sabit dalam tanggungan.
1.4.4.2 Hutang tersebut hendaklah berbentuk hutang lazim. Hutang yang tidak lazim tidak sah dipindahkan, seperti bayaran ganjaran yang mesti dibayar oleh hamba makatab (hamba yang dibenarkan menebus diri dengan bayaran), kerana hutangnya tidak boleh dianggap sebagai hutang lazim. Ringkasnya, setiap hutang yang tidk sah untuk tujuan jaminan, ia tidak sah juga untuk dipindah-pindahkan.
1.5 JENIS AL HIWALAH
1.5.1 Hiwalah Mutlak. (13)(ibid, hlm 149)
Misalnya, B memindahkan hutang kepada C dengan tidak mengaitkan hutang C darpada B, dan C menerima pindahan tersebut. Dalam kes ini ulama Hanafi tidak menyatakan apa-apa pandangan sama ada harus atau tidak. Mazhab yang tiga selain Mazhab Hanafi mengatakan pindah hutang dalam bentuk mutlak di mana penerima pindah hutang itu tidak mempunyai hutang daripada pemindah hutang dianggap sebagai satu jaminan semata-mata.Itupun dengan syarat ketiga-tiga pihak rela (iaitu pemuitang asal, pemindah hutang dan penerima pindah hutang).
1.5.2 Hiwalah Bersyarat. (14)(ibid..)
Iaitu pemindah hutang memindahkan hutangnya kepada penerima pindah hutang disyaratkan penerima itu mempunyai hutang daripada pemindah. Pemindahan semacam ini diharuskan oleh semua para ulama.
1.5.3 Hiwalah Haq
Hiwalah ini adalah pemindahan piutang dari satu piutang kepada piutang yang lain dalam bentuk wang bukan dalam bentuk barang. Dalam hal ini yang bertindak sebagai Muhil adalah pemberi hutang dan ia mengalihkan haknya kepada pemberi hutang yang lain sedangkan orang yang berhutang tidak berubah atau berganti, yang berganti adalah piutang. Ini terjadi jika piutang A mempunyai hutang kepada piutang B.
1.5.4 Hiwalah Dayn
Hiwalah ini adalah pemindahan hutang kepada orang lain yang mempunyai hutang kepadanya. Ini berbeza dari hiwalah Haq. Pada hakikatnya hiwalah dayn sama pengertiannya dengan hiwalah yang telah diterangkan terdahulu.
1.6 PENAMATAN AQAD HIWALAH
Aqad hiwalah boleh tamat dengan sebab-sebab berikut : (15)(ibid, hlm 154)
1.6.1 Fasakh. Jika aqad hiwalah difasakhkan atau dibatalkan hak pemiutang aal kembali kepada pemindah hutang.
1.6.2 Halangan syar'i. Di antara halangan syar'i ialah pemindah hutang mati, muflis dan lain-lain.
1.6.3 Penerima pindah hutang membayar hutang kepada pemiutang asal. dengan pelunasan itu, maka tamatlah aqad pindah hutang dan hukumnya pun selesai.
1.6.4 Pemiutang mati dan harta hutang itu menjadi waris kepada penerima pindah hutang. Oleh kerana warisan itu satu punca hakmilik, maka dengan warisan itu penerima pindah hutang menjadi pemilik.
1.6.5 Pemiutang asal menghibahkan hartanya kepada penerima pindah hutang dan hibah itu diterima.
1.6.6 Pemiutang asal mensedekahkan hartanya kepada penerima pindah hutang da ia menerima. Hibah dan sedekah di sini semakna dengan warisan dan pelunasan hutang
1.6.7 Pemiutang asal melupuskan hutangnya daripada penerima pindah hutang.
BAB 2 : AL HIWALAH DI DALAM SISTEM PERBANKAN
2.1 KIRIMAN WANG (REMITTANCE)
Bank Negara Malaysia mendefinisikan al Hiwalah sebagai suatu konsep yang merujuk kepada pengiriman dana/hutang daripada akaun depositor/peminjam kepada akaun penerima/pemberi pinjam di mana komisen atau upah dikenakan untuk perkhidmatan tersebut. (16)(Jabatan Ekonomi, Wang da Urusan Wang di Malaysia, hlm 361)
Menurut Sudin Harun al Hiwalah (Remittance) adalah merupakan suatu proses pemindahan yang merujuk kepada wang atau hutang dari satu pihak ke satu pihak yang lain atau dari suatu akaun ke akaun yang lain dan bank mendapat bayaran kerana perkhidmatan yang diberikan. (17)(Sudin Harun, Prinsip dan Operasi Perbankan Islam, hlm 79)
Secara teknikal instrumen al Hiwalah adalah pindahan wang daripada satu tempat kepada satu tempat yang lain. Kiriman wang bank tidak melibatkan pergerakan wang tunai secra fizikal. Kiriman wang boleh dilakukan secara perintah wang (cek jurubank), draf permintaan, pindhan mel atau pindahan bertelegraf. (18)(Johnson Pang & Nathaniel G Saravarimuthu, Pengurusan Bank di Malaysia, hlm 69)
Kiriman wang keluar melibatkan pembayaran wang, tidak seperti kiriman wang masuk yang memberi makna menerima wang. Kiriman wang keluar setempat/ tempatan akan melibatkan pindahan Ringgit Malaysia kepada penerima dala Malaysia. (19)(ibid, hlm 69)
Kiriman wang keluar tempatan boleh dilakukan dengan menggunakan sesuatu darpada kaedah di atas. Perintah juruwang diambil daripada bank (cawangan) yag mengeluarkan kiriman tersebut. Kiriman wang ini biasanya digunakan untuk membuat pembayaran dalam tempat yng sama.(20)(ibid.)
Sekiranya draf tempatan dikeluarkan, wang tersebut boleh diambil daripada cawangan domestik atau bank Penghubung tempatan/agen bagi bank tersebut. Begitu juga pindahan mel atau pindahan bertelegraf boleh dilakukan melalui cawangan Domestik atau Bank penghubung Tempatan/agen. (21)(ibid)
Kiriman wang keluar asing akan melibatkan pindahan wang dalam bentuk mata wang asing atau Ringgit Malaysia daripada Malaysia kepada penerima di luar Malaysia (wilayah Berjadual). Perintah juruwang biasanya tidak digunakan untuk kiriman wang asing. (22)(ibid)
Walau bagaimanapun sekiranya perintah juruwang tersebut dimasukkan ke dalam bank atau disimpan untuk diambil dibank luar Malaysia, tindakan ini boleh dianggap sebagai kiriman wang keluar asing apabila perintah juruwang itu dijelaskan. Kiriman wang keluar asing selalunya dilakukan melalui bank draf, pindahan mel atau pindahan bertelegraf yang diambil atau dilaksanakan melalui cawangan Bank Seberang Laut atau Penghubung Asing Bank. Apaeruntukan akta Kawalan Pertukaran Malaysia mestilah dipatuhi, mengikut keperluan, bagi kiriman keluar wang asing. (23)(ibid)
2.1.1 Perintah Juruwang (Banker's cheque)
Perintah juruwang atau cek juruwang ialah cek yang dikeluarkan oleh pihak bank untuk pembayaran kepada penerima tertentu. (24)(Shaari Abdul Hamid, Kamus Perbankan, hlm 22)
Perintah juruwang juga dikenali sebagai cek jurubank atau perintah pembayaran, adalah cek yang dikeluarkan oleh sesebuah bank. Cek ini boleh diambil dan dibayar di bank (cawangan) yang mengeluarkan cek itu sendiri. Mengikut amalan, bank memalang perintah juruwang dengan perkataan 'TIDAK BOLEH NIAGA AKAUN PENERIMA SAHAJA'. (25)(Johnson Pang & Nathaniel G Savarimuthu, hlm 70)
Perintah juruwang diguna dengan meluasnya untuk membuat pembayaran terutamanya jika cek perseorangan tidak diterima dan pembayaran wang tunai tidak digalakkan. Apabila dijelaskan, perintah juruwang boleh digunakan sebagai bukti pembayaran. Scara umumnya, perintah juruwang dianggap baik untuk membuat pembayaran oleh sebab ia dikeluarkan oleh bank. (26)(ibid.)
Bank mengenakan komisen (caj) dan cukai setem untuk mengeluarkan perintah juruwang. Apa yang diperlukan untuk memohon perintah juruwang adala jumlah wang dan nama penerima. Jumlah perintah juruwang termasuk komisen dn ukai setem mestilah dibayar (sama ada dalam bentuk wang tunai ataudebit yang diberi kuasa untuk akaun pelanggan pemohon) kepada ank semasa membeli perintah juruwang. (27)(ibid)
Perintah juruwang boleh dibatalkan mengikut permintn pemohonnya. Lazimnya bank mengkehendaki pemohon tersebut menandatangani di belakang perintah juruwang itu. Pembayaran balik hanya dibuat dengan permintaan pemohon perintah juruwang. Pembayaran balik dalam bentuk wang tunai tidak akan dibuat kepada kaun bukan perseorangan seperti firma, syarikat, peratuan dan lain-lain. (28)(ibid)
2.1.2 Draf Permintaan (Demand Draf)
Draf permintaan adalah perintah bertulis tanpa syarat yang dituju oleh satu bank kepada bank yang lain, ditandatangani oleh bank yang mengeluarkan draf dan mengkehendaki bank yang ditujui ini membayar jumlah wang yang dinyatakan di dalam dra tersebut atau mengikut orang yang dinyatakan dalam draf itu. (30)(Johnson Pang & Nathaniel G Savarimuthu, hlm 70)
Draf tempatan di Malaysia diambil dalam bentuk Ringgit Malaysia daripada cawangan atau bank Penghubung Tempatan/agen bank yang mengeluarkan draf tersebut. Bank mengenakan pertukaran dalaman dan cukai setem untuk mengeluarkan draf tempatan. Kadar semasa pertukaran dalaman adalah 0.03% setiap item, iaitu kadar minimum sebanyak 50 sen da kadar maksimum sebanyak RM 500.00. (31)(ibid, hlm 70)
Draf asing selalunya diambil dlam bentuk mata wang asing daripada cawangan luar negara atau bank penghubung/agen sing. Lazimnya komisen tida dikenakan oleh kerana bank tidak mendapat pendapatan daripada pertukaran asing. Apa yang diperlukan untuk memohon draf permintaan adalah nama penerima, mata wang dan jumlah wang yang perlu dikirim dan tempat yang draf tersebut boleh dibayar. (32)(ibid)
Draf yang dikeluarkan lazimnya diserahkan kepada pemohon yang kemudiannya akan mengemukakan kepada penerima. Pemohon boleh meminta bank memalang draf tersebut atau dia boleh memalangnya sendiri. Dala kes ini penerima mestilah menyimpan draf ini ke dalam akaunnya sebelum hasilnyaboleh diambil. Sekiranya draf tersebut tidak dipalang, penerima tersebut boleh mengambil wang tunai melalui kaunter setelah menunjukkan pengenalannya. (33)(ibid)
Draf boleh dibatalkan mengikut permintaan pemohon. Biasanya bank akan meminta pemohon menandatangani di belakang draf tersebut. Sekiranya draf dala mata wang asing dibatalkan, bank akan mrembayar balik setara dengan Ringgit Malaysia, jumlah mata wang asing yang biasanya dibeli pada kadar semasa. Dalam kes draf tempatan, bank akan membayar balik jumlah draf tersebut dengan potongan caj perkhidmatan. (34)(ibid)
Draf masuk adalah draf yang dikeluarkan oleh cawangan lain atau Bank Penghubung sama ada di luar negeri atau di tempat lain di bank yang membayar atau cawangan bank. Sekiranya draf ini dikemukakan di kaunter atau melalui penjelasan di bank yang membayar, ia akan dibayar sekiranya didapati teratur dari segala segi. (35)(ibid)
2.1.3 Pindahan Bertelegraf (Telegraphic Transfer)
Pindahan bertelegraf adalah suatu cara untuk memindahkan wang/dana sama ada melalui kabel, teleks atau faks. Pihak bank pengirim wang/dana akan mengirim suatu pesanan kepada cawangannya atau individu penerima kiriman di luar negara yang berisi tentang pembayaran pada pengenalan, kredit daripada akaun benefisiari, maklumat dan penjelasan pembayaran bagi benefisiari. Dana tersebut boleh didapati dari bank pengirim wang, bank penerima wang atau wang antarabangsa yang dapat diterima. (36)(Gerald Klein, Dictionary of Banking, hlm 256)
2.1.4 Pindahan Mel (Mail Transfer)
Pemindahan Mel adalah sama seperti pemindahan bertelegraf kecuali pada hakikat bahawa arahan kepada bank dibuat secara bertulis dalam borang bank yang standard. Peraturan bagi memohon pemindahan mel juga sama dengan pemohon draf dan pemindahan bertelegraf. (37)(Johnson Pang & Nathaniel G Savarimuthu, hlm 70)
2.1.5 Arahan Tersedia (Standing Instructions)
Arahan tetap atau arahan tersedia merupakan suatu arahan yang dibuat oleh pelanggan bank supaya membayar sejumlah wang yang tertentu pada tarikh tertentu kepada penerima tertentu, secara berkala. (38)(Shaari Abdul Hamid, hlm 9)
Kebiasaanya pelanggan menyerahkan bank untuk melaksanakan kiriman wang dari semasa ke semasa da mendebit daripada akaunnya. Arhan seperti ini disebut arahan tersedia. Pelanggan menggunakan perkhidmatan ini yang disediakan oleh banknya untuk melakukan kiriman wang berkala atau pembayaran premium insurans, pembayaran ansuran pinjaman dan lain-lain. (39)(opcit)
2.1.6 Cek Kembara (Travel Cheque)
Cek kembara ialah cek yang dikeluarkan pada denominasi tertentu dalam mata wang antarabangsa utama bagi tujuan perjalanan. Pemilik cek ini diminta membayar harga cek berserta dengan komisen. Ia juga dikehendaki menurunkan tandatangannya di ruang tertentu pada cek di hadapan pegawai bank yang mengeluarkan cek tersebut. Apabila digunakan untuk pembayaran, ia dikehendaki menurunkan tandatangannya sekali lagi di hadapan penerima cek. (40)(Shaari Abdul Hamid, hlm 22)
2.2 PENUTUP
Al hiwalah merupakan pindahan yang mana ia merangkumi hutang dan juga dana. Walaupun pada asalnya kalau dilihat pada makna iaitu pindahan yang melibatkan hutang bagi tiga orang, tetapi al Hiwalah ini boleh diketengahkan lagi konsepnya kepada kiriman wang (remittance). Para pengkaji mendapati al Hiwalah dan Remittance mempunyai kaedah yang sama iaitu dari sudut pemindahan tanggung jawab (zimmah) dari seorang kepada seorang yang lain. Soal ia hutang atau atau tidak, itu tidak menjadi persoalan kerana hutang turut merupakan satu tanggung jawab seperti mana tercatat melalui jenis al Hiwalah Mutlaqah yang tidak menuntut kaitan dengan wang yang dihutang.
Sebab itulah Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah mengguna pakai konsep ini tidak hanya kepada hutang tetapi telah digunakan dalam pemindahan dana dari seorang kepada seorang yang lain kerana kedua-duanya mempunyai konsep yang sama. Bagi melancarkan lagi perlaksanaan produk ini, pihak BIMB telah menggabungkan konsep iaitu konsep al Hiwalah dan Wakalah bi Ujrah. Konsep Wakalah bi Ujrah ini digunapakai untuk membolehkan pihak bank menerima komisen dalam pemindahan dana yang dilaksanakan.
Sungguhpun perlaksanaannya telahpun berlaku sebagaimana yang telah dipraktikkan oleh BIMB, namun perlu juga dilihat kepada beberapa kelemahan dan kekurangan yang ada supaya dapat meningkatkan lagi sistem muamalat Islam di arena perbankan di Malaysia khususnya dan di dunia amnya.
Beberapa saranan dari penulis untuk memartabatkan lagi sistem muamalat Islam iaitu :
- Penulis menyarankan istilah al Hiwalah digunapakai bagi menggantikan istilah kiriman wang atau remittance. Dengan penggunaan istilah ini setidak-tidaknya masyarakat akan dapat tahu bahawa ia sebahagian daripada teori muamalat Islam.
- Setiap kali kiriman wang hendak diproses ia mengenakan caj atau bayaran upah atau komisen. Di sini penulis mencadangkan agar kadar upah/komisen itu dihapuskan atau dikurangkan.
- Konsep ini perlu dipraktikan kepada bank-bank yang lain.
- Konsep ini perlu diperluaskan lagi umpamanya boleh digabungkan lagi dengan konsep-konsep yang lain.
Diharapkan kertas kerja ini dapat memberikan manfaat kepada semua.
2.3 RUJUKAN
Wahbah al Zuhaili, 1999, Fiqh Islami wa Adillatuhu, Jld 5,Dewan Bahasa dan Pustaka
H. Idris Ahmad S.H, 1995, Fiqh Syafii, Jld 3, Kuala Lumpur :Pustaka Antara Sdn Bhd
H. Sulaiman Rasjid, Fiqh Islam, Jakarta : Penerbit Attahiriyah
Muhammad Syafi'i Antonio, 2001, Bank Syariah Dari Teori ke Prakrik, Jakarta : Gema Insani
Sudin Harun, Prinsip dan Operasi Perbankan Islam, Kuala Lumpur : Berita Publishing Sdn Bhd.
Shaari Abdul Hamid, 1998, Kamus Perbankan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Johnson Pang & Nathaniel G Saravarimuthu, 1991, Pengurusan Bank di Malaysia, Selangor : Longman Malaysia.
Jabatan Ekonomi, 1994, Wang dan Urusan Wang di Malaysia, Kuala Lumpur : Bank Negara Malaysia.
Gerald Klein, 1995, Dictionary of Banking, Kuala Lumpur : International Law Book Services.
www.info-iman.blogspot.com