Rabu, 07 November 2012

Taat Dan Menghormati Suami

Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh

بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم

Segala puji bagi ALLAH SWT
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat.

Taat Dan Menghormati Suami

Taat kepada suami adalah salah satu cirri wanita solehah dan cirri wanita penghuni syurga. Menjadi wanita yang taat kepada suami merupakan jalan cepat menuju ke syurga. Hal ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW : “Jika seorang wanita mengerjakan solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya nescaya akan masuk syurga.” (HR Imam Ahmad)

Ketaatan kepada suami dan bersikap hormat kepadanya dapat meninggikan darjat dan pahala seorang isteri menyamai pahala orang yang berjihad di jalan ALLAH SWT.

Dari Abdullah ibnu Abbas bahawa seorang wanita berkata : “Wahai Rasulullah, aku adalah utusan kaum wanita kepadamu”, lalu ia menyebutkan keuntungan yang diperolehi oleh kaum lelaki dari berjihad dan lainnya berupa pahala dan harta rampasan perang, lalu ia berkata : “Lalu apa yang kami perolehi dari semua itu?” Kemudian Rasulullah SAW bersabda : “Sampaikanlah kepada setiap wanita yang kamu jumpai bahawa ketaatan kepada suami dan mengakui haknya mengimbangi pahala semua itu, tetapi sedikit sekali di antara kalian yang mampu melakukannya.” (HR Al-Bazzar dan At-Tabhrani)

Ketaatan isteri kepada suaminya adalah merupakan salah satu cirri wanita solehah. Dalam hal ini, ALLAH SWT telah menegaskan sebagaimana firmanNYA : “…. Maka perempuan-perempuan yang soleh adalah mereka yang taat (kepada ALLAH) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada kerana ALLAH telah menjaga (mereka)…”
(QS An-Nisa : Ayat 34)

Pada ayat tersebut dijelaskan bahawa ciri wanita solehah adalah “Qanitat” dan “Hafizhatul Lil Ghoibi”. “Qanitat” diambil dari kata “Qunut” yang beerti taat dan “Qanit” beerti orang yang taat. Jadi “Qanitat” beerti wanita yang taat kepada ALLAH SWT dan suami dengan menunaikan hak-hak ALLAH SWT dan suami. Inilah yang dihuraikan oleh para ahli hadis.

Imam Ar-Razi menjelaskan makna "Qanitat" dalam tafsirnya : “Ketahuilah bahawa seorang wanita tidak dikatakan solehah kecuali jika taat kepada suaminya kerana ALLAH SWT.”

Adapun "Hafizhat" mencakup segala bentuk amanah yang wajib dijaga oleh seorang isteri ketika suaminya tiada di rumah, baik bersifat material ataupun non material seperti menjaga jiwa, kewanitaan, kehormatan, rahsia suami, keluarga, anak-anak dan harta. Sedangkan kata "Al-Ghoib" mencakup segala sesuatu yang tidak diketahui yang harus dirahsiakan ketika suami berada di rumah atau tidak.

Oleh kerana itu, isteri yang menjaga segala bentuk amanah ketika suami tiada di rumah adalah berhak menyandang gelaran isteri solehah dan taat. Ketaaatan kepada suami tidak dibatasi oleh tempat dan waktu kerana ketaatan ini bersifat mutlak.

♥ ﷲ ♥

~ 3 Zulkaedah 1433H ~

www.info-iman.blogspot.com