Sabtu, 08 September 2012

Jangan Mencela Makanan

Assalamualaikum

Warahmatullahi Wabarakatuh

بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم

Jangan Mencela Makanan

Dari Abu Hurairah ra, katanya : “Rasulullah SAW itu tidak pernah mencela sama sekali pada sesuatu makanan. Jikalau Baginda SAW ingin pada makanan itu beliau pun memakannya dan jikalau tidak menyukainya, maka beliau tinggalkan – tanpa mengucapkan celaan padanya.” (Muttafaq ‘alaih)

ALLAH SWT berfirman tentang makanan : “Maka hendaklah manusia memerhatikan makanannya” (Surah ‘Abasa 80 : 24)

Akhlak Rasulullah SAW, seperti yang telah ALLAH SWT katakan dalam surah Al-Ahzab ayat 21 : “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan ALLAH dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati ALLAH banyak-banyak dalam masa susah dan senang”.

Apakah hikmah di sebalik perbuatan Rasulullah SAW terhadap makanan yang terhidang dihadapannya? Yakinlah bahawa setiap yang Rasulullah SAW lakukan pastinya datang dari ALLAH. DIA telah mengajar kita melalui peribadi baginda.

Makanan merupakan sumber utama penjana tenaga untuk menjalani kehidupan kita. Setiap hari kita pasti akan makan dan setiap kali kita makan adakah kita akan mengambil sedikit masa untuk memerhatikan makanan tersebut? Memerhatikan dan memikirkan dari manakah asal usul makanan tersebut.

Pelbagai bentuk, rasa dan warna. Namun, asalnya tetap sama, dari satu sumber yang telah menjadikannya. Ya, ALLAH SWT yang menjadikan makanan tersebut! Inilah nikmat yang tidak terhingga nilainya. Layakkah kita menghina nikmat yang dikurniakan Ar-Rahim? Siapakah kita berbanding Ilahi? Pernahkan anda terfikir tentang penduduk di Bumi ini yang tidak dapat merasai nikmat makanan walau sesuap nasi pun? Tidak, jangan sesekali kita mencemuh nikmatNYA. Takut-takut nanti, tatkala ALLAH SWT menarik nikmat makanan dari kita, tiada apa yang berguna lagi.

Wahai sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH, marilah kita bersama-sama mensyukuri nikmat yang telah ALLAH berikan kepada. Hanya pujian berhak untuk nikmat makanan ini, seperti dalam satu lagi sunnah nabi:-

Dari Jabir ra bahwasanya Rasulullah SAW meminta lauk pauk kepada keluarganya, lalu mereka berkata : “Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka. Baginda SAW lalu memintanya dan mulailah beliau makan serta bersabda : “Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka, sebaik-baik lauk pauk ialah cuka.” (Riwayat Muslim)

Bersyukurlah dengan nikmat rezeki dari ALLAH SWT.

~ 18 Syawal 1433H ~

www.info-iman.blogspot.com